Saya memang terkedu sungguh bila tahu tentang dalang di sebalik kebakaran Tahfiz Ittifaqiyyah. Ia sama sekali diluar jangkaan saya.
23 nyawa terkorban sekelip mata gara-gara dosa dan kesilapan anak-anak remaja. Allahu Rabbi. No word can describe my heart!
Remaja! Saya juga pernah menjadi seorang remaja. Kini menjadi ibu kepada anak-anak remaja. Kadang pening kepala juga dengan kerenah mereka!
Saya tahu betapa remaja kadang berbuat sesuatu tanpa fikir panjang. Tak fikir kesan. Buat. Kadang berbangga-bangga. Buat. Kadang menyesal tak terhingga.
Remaja. Bukan senang mendidik mereka.
Menjaga keperluan mereka di rumah, memantau perlakuan dan pergaulan mereka di luar rumah, kadang semuanya terasa serba tak kena.
Sewaktu di rumah, bersungguh jaga apa yang mereka makan, tapi di luar rumah, terkadang, mereka beli juga apa yang kita larang.
Di rumah, bersungguh kita jaga apa yang mereka tonton, di sekolah entah apa yang dipertontonkan oleh kawan-kawan.
Bila mereka meminta sesuatu, otak kita yang letih menimbang tara antara perlu atau tak perlu. Beri salah, tak beri salah. Zaman remaja kita dan zaman remaja mereka tak sama. Lain cabarannya. Allah..Allah.. penat rasanya bergelut dengan 'trial and error'.
Sebagai ibubapa, kita sentiasa mahu melakukan hal yang betul tapi kadang tersalah juga. Merintih, meratap, merayu.. 'Ya Allah.. tolonglah aku! Tolonglah jaga anak-anakku!'
Kadang saya menyalahkan diri sendiri. Saya yang nakal ketika remaja, inilah padahnya bila anak-anak pula tidak mahu mendengar kata. Basah kuyup telekung melontarkan doa meminta Allah memberi ihsan-Nya dalam soal kafarah.
"Ya Allah, kalau pun aku harus dihukum, janganlah Kau libatkan anak-anakku."
Itu ratapan seorang pendosa yang selalu berasakan dosa orang lain juga berkait dengan dosanya. Itu ratapan saya.
Tapi ada juga ratapan daripada insan-insan mulia yang teruji dengan ujian yang sama. Mereka ustaz, ustazah, doktor falsafah, baik dan lemah lembut saja pada pandangan mata kita.
Tapi anaknya...
.... dan tragedi Nabi Nuh terpisah dengan anak isteri pun berulang lagi. Sungguhlah. Iman tidak boleh diwarisi. Hidayah itu milik Allah!
Tidak ada yang aneh tentang tragedi ini, kawan-kawan. Seawal kehidupan manusia di dunia, seawal sirah Nabi Adam, kita sudah pun dihadapkan dengan jenayah yang kejam. Kisah Habil dan Qabil. Kisah seorang abang yang tergamak membunuh adiknya sendiri. Dan mereka anak-anak Nabi!
Maka bukan satu hal yang aneh dengan apa yang berlaku pada hari ini. Anak-anak remaja yang memang bermasalah membakar guru dan pelajar tahfiz Ittifaqiyah. 23 nyawa rentung!
Ya. Kita sedih. Kita marah. Tapi jangan pula lupa ADAB kita sebagai seorang hamba yang sedang berdepan dengan takdir Allah.
Dunia akhir zaman. Kita terima tragedi ini sebagai pembuktian dari amaran Rasulullah. Inilah sebahagian tanda-tanda dunia sudah makin hampir ke penghujungnya. Iaitu bila mana semakin banyak orang-orang soleh dicabut nyawa mereka hingga nanti yang tinggal adalah sekutu-sekutu syaitan bertopengkan manusia.
Memang inilah carta alirannya. Kita tak mampu menentang arus, tapi usaha dakwah mesti terus! Kita cuba selamatkan diri kita, terus gigih selamatkan anak-anak kita, juga sesiapa saja yang mahu sama-sama ke syurga.
Dunia akhir zaman. Rasa kasih dan kasihan kita pada anak-anak tidak boleh lagi 'semurni' kasih seorang ayah dalam Anakku Sazali.
Tapi kita harus punya hati sekeras Nabi Nuh yang walau pun sayang pada anak-anak tapi agama Allah mengatasi segala-galanya.
Kita harus sedia bertegas seperti Rasulullah yang sedia memotong tangan Fatimah jika puteri kesayangannya itu mencuri.
Dan kita sepatutnya bertegas juga untuk kes kejadian jenayah ke atas Tahfiz Ittifaqiyah ini!
Dalam hukum Islam, tidak ada istilah bawah umur 18 tahun. Asal saja baligh, mereka perlu diadili dan berdepan hukuman sewajarnya. Maka kita berdoa agar pihak berwajib dapat memberikan keadilan buat keluarga mangsa.
Dan kita..
Cukuplah dengan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Kita semak kediaman kita. Adakah sudah cukup selamat? Apa yang perlu dilakukan jika berlaku bencana?
Semak anak-anak kita, anak buah kita, anak murid kita. Adakah mereka mendapat perhatian secukupnya? Apa lagi yang boleh kita bantu? Apa lagi yang perlu?
Paling penting, semak juga hati kita. Kita tak bunuh orang, tak bakar orang, tak bermakna kita lebih mulia dari anak-anak remaja itu. Ingat! Allah boleh menjadikan hamba-Nya sesat dan boleh menerima taubat hanya dalam kiraan saat.
Maka dalam melayan apa pun emosi kita berdepan tragedi ini, tak perlulah berlebihan mengutuk orang lain. Lebihkan muhasabah dan perbaiki diri kita sendiri.
Istighfar.
Kami memohon keampunan dan perlindungan dari-Mu Ya Allah. Amin. Amin.
-Bonda Nor-
(Dari FB Bonda Nor)